Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera.
SEMUA PELAJAR
UNIVERSITI SELANGOR
YBhg. Datuk/ Dato’/ Prof./ Dr./ Tuan/ Puan,
HEBAHAN : PENAWARAN PROGRAM MYBRAIN 2.0 KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI BAGI SESI AKADEMIK 2024/2025
Dengan segala hormatnya saya diarah merujuk kepada perkara di atas.
2. Sukacita dimaklumkan bahawa Kementerian Pendidikan Tinggi telah membuka permohonan Program MyBrain 2.0 secara dalam talian bermula pada 1 Ogos 2024 sehingga 21 Ogos 2024 melalui Sistem Permohonan MyBrain 2.0. Program ini dibuka kepada orang awam tidak bekerja atau tidak berpendapatan tetap dan pensyarah-pensyarah Institusi Pendidikan Tinggi Swasta terpilih untuk melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana dan Ijazah Kedoktoran di Universiti Awam dalam negara bagi sesi akademik 2024/2025.
3. Untuk makluman YBhg. Datuk/ Dato’/ Prof./ Dr./ Tuan/ Puan, penajaan ini diberikan keutamaan kepada pelajar yang telah menerima surat tawaran penuh / tanpa syarat daripada IPT atau telah memulakan pengajian secara sepenuh masa di IPT dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Walau bagaimanapun, pelajar dalam bidang-bidang Sains Sosial dan Sastera Ikhtisas juga berpeluang untuk memohon penajaan di bawah program ini. Bagi pemohon yang telah mengikuti pengajian, baki tempoh pengajian sekurang-kurangnya 12 bulan bagi peringkat Ijazah Sarjana dan 24 bulan bagi pengajian peringkat Ijazah Kedoktoran pada Semester 1, Sesi 2024/2025.
4. Sehubungan itu, kerjasama YBhg. Datuk/ Dato’/ Prof./ Dr./ Tuan/ Puan, adalah dipohon untuk membuat hebahan maklumat permohonan tersebut di institusi masing-masing. Calon yang berminat perlu mengemukakan borang permohonan dan dokumen sokongan yang lengkap melalui Sistem Permohonan Dalam Talian Program MyBrain 2.0 di pautan https://biasiswa.mohe.gov.my/MyBrain2/. Dilampirkan jua posterhebahan Program MyBrain 2.0 Tahun 2024 untuk perhatian YBhg. Datuk/ Dato’/ Prof./ Dr./ Tuan/ Puan.
5. Sebarang pertanyaan berhubung tawaran program ini boleh dikemukakan melalui e-mel: mybrain2.0@mohe.gov.my atau telefon: 03-88881616 (Hotline) / 03-8870 6371/ 6697/ 6506/ 6369/ 6403. Segala perhatian dan kerjasama pihak YBhg. Datuk/ Dato’/ Prof./ Dr./ Tuan/ Puan berhubung perkara ini adalah amat dihargai dan didahului dengan ucapan terima kasih.
Sekian.
Urus Setia
Program MyBrain 2.0
Bahagian Biasiswa
Kementerian Pendidikan Tinggi
HEBAHAN DARIPADA :
PEJABAT TIMBALAN NAIB CANSELOR (AKADEMIK , PENYELIDIKAN DAN JARINGAN INDUSTRI)